Tuesday, March 30, 2010

Mutiara Renungan Ummah

Umat Islam mesti berilmu bukan hanya menungkat dagu

Umat Islam mesti banyak membaca bukan melihat orang baca

Umat Islam mesti berdakwah bukan hanya pandai menyalah

Umat Islam mesti bermaruah bukan berbangga di bumi bertuah

Umat Islam mesti menjaga waktu bukan membazir waktu

Umat Islam mesti kaya jiwa bukan kaya harta

Umat Islam mesti bekerja keras bukan pemalas

Umat Islam mesti merenung bukan termenung

Umat Islam mesti mengkaji bukan berangan tidak bererti

Umat Islam mesti berhati-hati bukan membuta tuli

Umat Islam mesti disegani bukan ditakuti

Umat Islam mesti bersatu hati bukan hasad dan dengki

Umat Islam mesti berpolitik bukan main-main politik

Umat Islam mesti menang bukan kalah dalam perjuangan

Umat Islam mesti mensyukuri bukan kufur nikmat

Umat Islam hanya berpandukan Al-Quran, Hadis, Qias, Itjima’ dan Ijtihad, kelak kita terselamat dunia dan akhirat

Jangan Sesal Perkara Lalu

Dzun-nun berkata:

Jangan sesal perkara yang lalu, dan jangan risau perkara yang akan datang. Gunakan sepenuhnya masa kini ( hidup dalam mengenang Allah ) Sentiasalah bersedia untuk mati dan pungut bekalan untuk jalan ke akhirat itu. Perhitungkanlah amalanmu sebelum kamu diperhitungkan di akhirat nanti.

Orang yang menutup mulutnya akan terselamat. Apakah gunanya dunia jika itu menyebabkan kamu lupakan Allah.

Janganlah benci kepada orang yang berdosa itu, kerana kamu tidk tahu sebelum dia meninggal dunia, mungkin dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya dan meninggikan darjatnya.

Tanda orang yang beriman itu ialah dia menentang perkara keduniaan dan tidak pernah memuji makhluk.

Sebesar zarah iman adalah lebih baik daripada kekayaan dunia, kerana ia membawa kepada keselamatan.

Tanda Amal Tidak Diterima Allah

Siapa yang melakukan empat macam kemudian ia tidak bertambah baik, maka itu tanda tidak diterima amalnya.

i. Siapa yang berjihad, kemudian ia kembali tidak bertambah kebaikan, maka itu tanda jihadnya tidak diterima oleh Allah

ii. Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian tidak bertambah kebaikan, maka itu tandanya puasanya tidak diterima

iii. Orang yang naik haji kemudian tidak bertambah amal kebaikannya, maka itu tanda tidak diterima amalan hajinya

iv. Orang yang sakit lalu sesudah sembuh tidak bertambah baik amal perbuatannya, maka itu tanda bahawa dosa-dosanya belum ditebus

Seorang hakim berkata:

Siapa yang mengaku tiga perkara di bawah, maka dia ditertawakan syaitan:

· Siapa yang mengaku dapat merasa manisnya taat, padahal dia cinta pada dunia

· Siapa yang mengaku redha pada Allah s.w.t padahal dia tidak membenci hawa nafsunya

· Siapa yang mengaku ikhlas padahal dia ingin dipuji orang

Tanda seseorang itu telah tertipu ada tiga:

a) Mengumpulkan apa yang tedak berguna baginya

b) Bertambah-tambah dosanya sehingga membinasakannya

c) Meninggalkan amal yang dapat menyelamatkannya

Dua tanda orang yang mengharap kepada Allah s.w.t itu juga tiga:

ü Hatinya digunakan untuk berzikir ( mengingati Allah )

ü Lidahnya untuk berzikir

ü Badannya untuk beramal

Sepuluh Jenis Orang Islam Yang Kejam

Sufyan Athsauri berkata :

Sepuluh macam daripada kekejaman ialah:

· Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri dan tidak mendoakan anak-anaknya dan kaum mukmin

· Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat

· Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat ( Sunat Tahyatul Masjid )

· Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur

· Seseorang yang sampai di sebuah kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah

· Seseorang yang di daerahnya di datangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya

· Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu

· Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang

· Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan

· Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makannya itu